Tuesday, August 5, 2008

Cerpen Lisa

Pada batu besar itu, Lisa duduk seorang diri mengenang nasibnya. Percikan air laut yang menampar batu besar itu mengenai pipi mulusnya. Dia membiarkan air laut barat daya itu membelai tubuhnya. Dia mendongak ke dada langit, kelihatan beberapa ekor burung sedang berterbangan dengan riangnya. Lisa tersenyum kecil. Matanya kini terarah pada kaki langit yang jauh nun di sana. Dia seolah-olah dapat melihat zaman persekolahannya yang sudah di tinggalkan beberapa tahun dahulu. Siapa tahu, anak seorang nelayan yang dulunya terpaksa mengharungi pahit maung kehidupan kini ialah seorang doktor pakar di sebuah hospital yang terkenal di Kuala Lumpur. Tanpa dipinta, fikirannya menerewang pada peristiwa beberapa tahun lalu.
“Tapi ayah, tahun depan dah SPM. Tak kan Lisa nak berhenti separuh jalan?”. Dengan suara yang sayu, Lisa memberanikan diri untuk bersuara. “Ayah peduli apa dengan SPM kau. Persetankan itu semua. Ingat Lisa, kau tu peremuan. Kalau dah namanya perempuan, belajar tinggi mana pun, ke dapur juga perginya”.
Pak Daud tegas dengan pendiriannya. Dia tidak mahu Lisa meneruskan pelajarannya. Dia tidak ingin Lisa membuang masa dan menghabiskan duitnya hanya untuk mencapai cita-citanya yang belum pasti.
“Kenapa ayah tak nak faham?”. Lisa bersuara sayu. Dia betul-betul kecewa dengan pendirian ayahnya.
“Siapa yang tak faham? Lisa atau ayah? Apa Lisa lupa, dulu ayah membanting tulang mencari rezeki. Untuk apa? Ayah nak lihat anak-anak ayah berjaya. Tapi apa yang kakak kamu lakukan? Dia menconteng arang ke muka ayah. Kononnya belajar di universiti. Lisa tahu tak apa yang ayah harapkan sekembalinya dia dari universiti? Ayah harapkan dia pulang bersama segulung ijazah. Tapi apa yang berlaku?”. Pak Daud tidak meneruskan kata-katanya. Lisa tunduk memandang lantai usang rumah mereka. Dia sedar ayahnya terluka dengan sikap kakaknya. Kak Mastura mengandung hasil keterlanjurannya dengan seorang lelaki yang juga rakan universitinya. Kerana kecewa dengan sikap kakak, ayah menghalaunya dengan perut yang masih memboyot. Peristiwa itu sudah dua tahun berlalu. Sehingga kini, mereka tidak pernah tahu akan keadaan kak Mastura.
“Tapi Lisa bukan kakak. Lisa janji dengan ayah, Lisa akan berjaya suatu hari nanti. Lisa akan buktikan. Percayalah ayah. Lisa tak akan kecewakan ayah.” Dengan penuh berhati-hati, Lisa menutup mata. Dia berharap agar kata-katanya bisa melembutkan hati ayahnya, seterusnya membenarkan dia untuk terus belajar.
Tidak dinafikan hati Pak Daud sedikit tersentuh dengan kata-kata anak bongsunya itu. Dia cuma mempunyai dua orang anak. Kedua-duanya perempuan. Setelah anak sulungnya
membuat onar, hatinya betul-betul kecewa. Kerana peristiwa itu, dia tidak mahu pisang berbuah dua kali. Hatinya yang tadi mulai lembut kembali membara apabila terkenangkan perbuatan Mastura.
“Ayah tak peduli. Kenapa kau ni degil sangat ni?”. Herdikan Pak Daud makin lantang. Lisa terkedu. Kecut perutnya mendengar herdikan ayahnya. Bukan dia tidak biasa, tetapi kali ini dia dapat merasakan kemarahan ayahnya sudah sampai ke kemuncak.
“Tapi ayah...” Lisa cuba untuk merayu. Dia mendekati ayahnya. Dengan penuh berhati-hati dia mencapai tangan kasar ayahnya, lalu dikucup penuh kasih sayang.
“Berilah Lisa peluang untuk buktikan...” Belum sempat Lisa menghabiskan kata, Pak Daud terus merentap tangannya.
“Oh... Kau nak berdegil dengan ayah ya?”. Dengan pantas Pak Daud melangkah. Dalam pandangan yang kabur dek air mata, jelas sekali pada penglihatannya Pak Daud sedang meluru masuk ke biliknya. Lisa dan ibunya , Puan Siti saling berpandangan. Puan Siti yang sebentar tadi menjadi pemerhati mulai kecut perut. Bukan dia tidak mahu membela anaknya, tetapi dia sudah terlebih dahulu diberi amaran oleh suaminya supaya tidak masuk campur. Sebagai seorang ibu, dia akui turut terluka.
“Pakkk!” Tiba –tiba Lisa dan ibunya dikejutkan dengan beberapa buah buku teks tingkatan lima yang baru diperolehnya semalam. Buku-buku tersebut dihumban ke lantai. “Ayah nak kau pulangkan buku-buku ni esok. Kalau tak ayah bakar semuanya”.
Tangis Lisa makin jelas. Dengan pantas dia meluru ke arah buku-buku teksnya dan menyusunnya rapi. Air matanya mengalir laju.
“Abang, abang dah melampau”.
Entah dari mana kudrat itu datang, Puan Siti tiba-tiba sahaja menjadi berani untuk bersuara.
“Kau diam! Abang dah beri amaran. Jangan masuk campur. Ini antara abang dengan Lisa”. Kini giliran Puan Siti pula menerima herdikan.
“Kenapa tidak? Lisa juga anak saya. Sebagai seorang ibu, saya tak tahan hanya menjadi pemerhati. Siti tahu abang terluka. Siti tahu abang kecewa. Tapi abang jangan lupa, Siti ni ibu mereka. Siti lebih terluka bang, dan Siti lebih terluka dengan sikap abang. Mana janji-janji abang dulu yang kononnya akan menjadi suami yang baik dan ayah yang bertanggungjawab ke atas anak-anak kita?”. Setelah sekian lama memendam rasa, akhirnya Puan Siti memuntahkan semuanya. Pak Daud menundukkan kepalanya.
“Abang cuma mahukan yang terbaik untuk mereka. Abang tak nak peristiwa lalu berulang kembali”. Kali ini nada Pak Daud agak rendah dan penuh dengan rasa kecewa. Lisa duduk di atas lantai sambil menyusun buku-bukunya. Perlahan-lahan dia mendongak memandang wajah tua ayahnya. “Ayah, Lisa faham perasaan ayah. Tapi hanya satu yang Lisa pinta. Kalau Lisa boleh memahami perasaan ayah, kenapa tidak ayah? Ayah kata nak yang terbaik daripada kami, daripada Lisa. Tapi ayah lupa. Ayah lupa untuk memberikan Lisa peluang untuk membuktikan semua tu. Ayah cakap dengan Lisa, macam mana Lisa nak buktikan yang Lisa boleh berjaya suatu hari nanti kalau ayah sekat perjalanan Lisa?”. Dengan air mata yang masih mengalir laju dan bahu yang terhinjut-hinjut, Lisa meluahkan rasa hatinya. Pak Daud duduk di atas bangku kayu di ruang tamu.
“Baik, kalau itu yang Lisa mahu, ayah beri peluang. Tapi ingat, sekali Lisa kecewakan ayah, ayah tak akan mengaku Lisa sebagai anak”. Walaupun kata-kata itu berbaur ugutan, namun Lisa masih tersenyum lebar. Serta-merta, hilang semua rasa kecewanya.
Minggu berganti minggu, cuti persekolahan pun tiba. Dia akan menghabiskan masanya untuk mencari rezeki. Pada waktu subuh, dia akan membantu Puan Siti membuat kuih untuk dijual di warung Pak Mamat. Pada waktu pagi sekitar pukul 7 hingga 7 petang, Lisa bekerja di warung Pak Mamat sebagai pelayan. Sekembalinya dia ke rumah, dia akan menghabiskan sisa masanya untuk mengulangkaji pelajaran. Begitulah kehidupannya sepanjang cuti itu.
“Lisa, Lisa buat apa berdiri seorang-seorang kat situ? Baliklah. Dah nak Maghrib ni”.
Lisa menoleh apabila menyedari ada satu suara menegurnya dari belakang.
SERMAHAL KPB 2008

No comments: