Tuesday, August 5, 2008

Sejarah Penubuhan KPB

Sempena Bulan Bidang pada bulan Mac lalu, kami pelajar tingkatan Enam seramai 15 orang dan seorang pelajar tingkatan empat bersama-sama guru pembimbing Puan Zaiton Ismail telah merancang untuk membuat Buletin Bahasa. Semasa dalam proses menyiapkan bulletin ini, kami telah menubuhkan satu kumpulan kecil untuk agihan tugas. Kumpulan kami dinamakan sebagai, Kumpulan Pencinta Bahasa (KPB) SEGAR 2008. Buletin yang kami hasilkan diberi tajuk Wara-Wara Bahasa yang berbentuk mini majalah. Wara-wara bahasa ini diterbitkan untuk menambah pengetahuan pelajar-pelajar sekolah berkenaan bahasa Malaysia. Dengan dorongan Pn. Zai , beliau menyarankan agar kumpulan kami ini terus hidup dan aktif.
Pada edisi pertama KPB SEGAR 2008, kami telah mengetengahkan pelbagai isu yang berkaitan dengan bahasa Malaysia seperti salasiah bahasa Melayu, tokoh bahasa, segmen kenali guru segar, isu pencemaran bahasa yang tiada penghujungnya, pedoman penterjemah, cetusan kreatif (cerpen, sajak dan komedi), analisis keputusan peperiksaan bahasa Malaysia SEGAR pada tahun 2007, senyum sikit dan sebagainya. Kami telah juga telah menjalankan peraduan teka silang kata dan mencari benda tersembunyi. Pertandingan ini terbuka kepada semua warga SEGAR dan tanpa disangka-sangka, kami mendapat sambutan yang amat menggalakkan daripada para pelajar. Namun begitu, kami juga mengharungi pelbagai dugaan untuk menyiapkan Wara-wara bahasa edisi pertama ini. Alhamdulillah pada bulah April, wara-wara bahasa edisi pertama siap sepenuhnya dan kami telah menjualnya kepada semua pelajar kelas sesi pagi dan sesi petang.
Daripada pengalaman membuat Wara-wara Bahasa edisi pertama, kami sekali lagi merangka Wara-wara Bahasa edisi kedua. Pada bulan Jun yang lalu, kami bersama-sama guru pembimbing telah berkumpul dan merancang tugasan dengan lebih teliti supaya bahan yang akan kami ketengahkan lebih mantap dan dapat memberi faedah kepada pembaca. Antara bahan yang kami ketengahkan ialah penubuhan Dewan Bahasa dan Pustaka, isu bahasa, segmen kenali guru SEGAR, bukakan minda, cetusan kreatif dan tidak ketinggalan juga kami sekali lagi menganjurkan peraduan mencari benda tersembunyi.
Di samping menerbitkan mini majalah, kami juga akan mengadakan aktiviti lawatan bagi menambahkan pengetahuan. Maklumlah banyak berjalan luas pemandangan. Kami juga turut merancang untuk berbuka puasa bersama-sama apabila tiba bulan Ramadhan Al-Mubarak nanti. Tujuan aktiviti adalah untuk mengeratkan hubungan silaturahim antara ahli dan guru. Dalam sibuk-sibuk membuat Wara-wara Bahasa ini, kami sebagai pelajar STPM yang akan menduduki peperiksaan pada tahun ini akan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan keputusan yang “Gempak”. Kepada guru pembimbing iaitu Puan Zai, terima kasih atas tunjuk ajar yang diberikan kepada kami. Kami mendoakan agar Puan Zai sentiasa panjang umur dan ceria selalu. Tidak lupa kepada ahli KPB SEGAR 2008 yang banyak memberi kerjasama bagi menjayakan Wara-wara Bahasa ini. Sekian daripada kami ahli KPB SEGAR 2008

No comments: