Tuesday, August 5, 2008

Tokoh Edisi Pertama

Usman Awang
Dato’ Usman Awang dilahirkan di Kuala Sedili, Kota Tinggi, Johor,
(12 Julai 1929). Beliau menerima Anugerah Sastera Negara pada tahun 1983 yang membawa gelaran Sasterawan Negara. Antara anugerah lain diterima beliau ialah Anugerah Pejuang Sastera (1976), S.E.A: Write Award (1982), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan Universiti Malaya (1983) dan Anugerah Penyair Johor (1995). Terkenal dengan nama pena seperti Tongkat Warran, Setiabudi, Manis, Atma Jiwa, Pengarang Muda, Rose Murni, Zaini dan U.A. Beliau ialah seorang penyajak, penyair dan ahli drama yang terkenal dengan karya berunsur kemanusiaan. Pada beliau “Sastera itu ditulis oleh penulis sebagai manusia yang hidup dan terlibat dengan keadaan dan zamannya”. Begitulah ungkapan pemikiran oleh Usman Awang.
Perang Jepun yang meletus pada tahun 1941 telah meyebabkan pendidikan beliau terhenti setakat darjah 6 sahaja. Perang Jepun memaksa sekolah ditutup dan beliau telah menjadi petani selama kira-kira dua tahun di Singapura. Pernah menjalani di Depot Polis Johor Baru pada awal 1946 dan selepas sembilan bulan menjalani latihan beiau dihantar bertugas di Melaka. Beliau mula menulis rencana dengan mengisi ruagan khas Pasukan Keselamatan dalam akhbar Utusan Malaysia pada tahun 1949.
Semasa hayatnya beliau merupakan tokoh sasterawan generasi ASAS ‘50 yang terkemuka. Pada waktu itu, karya-karya beliau banyak membangkitkan isu-isu kesedaran bangsa ke arah kemajuan. Salah satu ungkapan beliau ialah “Menghidup dan mengembangkan kesusasteraan Melayu bererti menghidupkan dan memajukan bangsa Melayu” beginilah pendapat beliau tentang kesusasteraan Melayu.
Menurut panel Anugerah Sastera Negara (1983), Usman Awang merupakan sumber inspirasi para penyair dari dekad ke dekad kerana hasil penulisan beliau mempunayai tarikan dan karisma yang menjadikan beliau teguh seperti sebuah institusi. Allahyarham Dato’ Usman Awang telah pulang ke rahmatullah pada 29 November 2001 dan dikebumikan di tanah perkuburan Bukit Kiara Taman Tun Dr Ismail, Kuala Lumpur bersama-sama seorang sasterawan tersohor negara iaitu Keris Mas.

No comments: