Tuesday, August 5, 2008

Wawancara

Wartawan: Assalamualaikum cikgu.Pertama sekali kami ingin mengucapkan terima kasih kepada cikgu kerana sudi meluangkan masa untuk ditemu bual. Sebelum kami mengemukakan soalan, apakah objektif mengadakan Bulan Bidang ini khususnya untuk bahasa Melayu?
Pn. Norjannah: Waalaikumsalam.Objektif Bulan Bidang ini diadakan adalah untuk mencungkil idea dan bakat pelajar,mengaplikasikan dan menguasai konsep bahasa,memperkasakan bahasa kebangsaan dan memupuk nilai murni dalam diri pelajar.Aktiviti ini dijalankan pada waktu sekolah, dibuka kepada semua pelajar dari tingkatan 1 hingga tingkatan 6.
Wartawan: Bolehkah kami tahu biodata dan latar belakang pendidikan puan?
Pn.Norjannah: Saya mendapat pendidkan peringkat menengah di SMK Sri Muara Bagan Dato’, Perak.Kemudian saya melanjutkan pelajaran dalam bidang Sarjana Muda Pendidikan di Universiti Pendidikan Padang, Sumatera. Selepas tamat pengajian, saya ditempatkan untuk berkhidmat di SMK Setiawan, Perak.Selepas beberapa tahun bekerja di situ, saya ditukarkan pula ke SMK Seri Garing, tempat saya mengajar kini. Tahun 1990 hingga 2008 merupakan tempoh masa saya menjadi seorang pendidik dan jika dicongak sudah 17 tahun saya dalam bidang pendidikan ini.
Wartawan: Apakah cabaran yang puan hadapi sebagai seorang pendidik?
Pn. Norjannah: Terlalu banyak cabaran yang saya lalui antaranya apabila mahu mendapatkan dan melahirkan calon-calon murid yang berkaliber dalam bidang sastera dan bahasa.
Wartawan: Sejak bilakah puan dilantik sebagai Guru Bidang Bahasa di sekolah ini?
Pn. Norjannah: Saya dilantik sebagai Guru Bidang Bahasa pada tahun 2006.
Wartawan: Kalau puan tidak keberatan,bolehkah cikgu berkongsi apakah tanggungjawab seorang Guru Bidang Bahasa ?
Pn. Norjannah: Sebagai seorang Guru Bidang Bahasa.saya menjadi seorang ketua yang akan memantau guru-guru di bawah bidang bahasa ini.Di bawah pengawalan saya termasuklah Panitia Bahasa Melayu,Panitia Bahasa Cina ,Panitia Bahasa Tamil,English Science Technology ,Pengajian Am dan AMBM (menengah rendah) Pengajian Am,(Tingkatan 6), dan English Science Technology.
Wartawan: Apakah prinsip yang puan pegang sebagai seorang pendidik?
Pn.Norjannah: Prinsip saya ialah ketegasan, kasih sayang dan mesti mencapai matlamat. Bagi saya, sebagai seorang pendidik, saya perlu melahirkan pelajar yang memenuhi kriteria dan mesti mempunyai kualiti walaupun kuantiti pelajar-pelajar seperti ini sedikit bilangannya di sesebuah sekolah.
Wartawan: Apakah cadangan puan untuk meningkatkan peratus kelulusan Bahasa Malaysia di sekolah kita?

Pn Norjannah: Banyak program intensif yang telah kita lakukan dan didapati berkesan kepada pelajar-pelajar seperti klinik bahasa, ditambah pula dengan program anak angkat dan mentor-mentee kepada pelajar yang menjadi sasaran sahaja. Program ini telah dilaksanakan dan ternyata berkesan kepada pelajar SPM pada tahun 2007.
Wartawan: Sebagai seorang guru Bidang Bahasa, apakah harapan puan mengenai prestasi mata pelajaran Bahasa Malaysia dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM pada masa akan datang?
Pn.Norjannah: Saya berharap agar mencapai keputusan 100% lulus dalam semua peperiksaan. Saya ingin melihat bidang akademik dapat mencapai peringkat lonjatan saujana seperti yang telah dilakukan dalam bidang kokurikulum. Saya juga ingin memastikan pelajar berjaya dalam kedua-dua bidang (akedemik dan kokurikulum). Paling penting saya mahu kegemilangan SEGAR dikembalikan semula seperti suatu ketika dahulu.
Wartawan: Apakah pencapaian terbaik yang pernah puan perolehi sepanjang tempoh puan sebagai seorang pendidik?
Pn Norjannah: Saya telah mendapat dua kali anugerah cemerlang dalam tempoh perkhidmatan saya sebagai pendidik. Anugerah pertama pada tahun 1996 ketika saya mengajar di sekolah lama dan anugerah kedua diterima pada tahun 2004 sewaktu saya berkhidmat di sekolah ini ketika memegang jawatan setiausaha peperiksaan dalaman. Anugerah ini tidak penting tetapi tugas yang penting bagi saya adalah terus melakukan yang terbaik dalam perkhidmatan pendidikan ini.
Wartawan: Apakah nasihat puan kepada pelajar yang berminat menjadi pendidik?
Pn. Norjannah: Nasihat saya adalah jika ingin menjadi seorang pendidik perlu ada jiwa sebagai pendidik yang tekun. Bagi saya bidang pendidik dapat menyumbang idea dan kemampuan yang ada pada anak bangsa. Guru merupakan golongan penting kerana tanpa guru tiada bidang-bidang lain dapat diwujudkan. Tugas guru merupakan cabaran yang besar kerana kita berhadapan dengan ramai orang dan apabila timbul sesuatu masalah semua pihak akan menuding jari kepada pendidik.
Wartawan: Baiklah puan, kami rasa segala persoalan telah terjawab. Terima kasih atas kerjasama dan kesudian puan untuk berkongsi pengalaman dengan kami.
Pn. Norjannah: Sama-sama
.

No comments: