Kenali guru kita
Wartawan: Assalamualaikum cikgu. Kami wakil daripada Kumpulan
Pencinta Bahasa (KPB) ingin mewawancara cikgu untuk
dimuatkan dalam Wara-Wara Bahasa edisi kedua bulan Julai ini.
Sebelum kami memulakan sesi ini, terlebih dahulu kami ucapkan
terima kasih atas kesudian cikgu meluangkan masa bersama-
sama kami.
Pn Rosyta: Waalaikumsalam dan cikgu juga mengucapkan terima
kasih kerana KPB berminat untuk menemu ramah saya.
Wartawan: Bolehkah cikgu ceritakan biodata dan latar belakang
pendidikan cikgu?
Pn Rosyta: Saya memperoleh Ijazah Sarjana Muda di Universiti Sains
Malaysia, Pulau Pinang dan di situ juga saya memperoleh
Diploma Pendidikan pada tahun 1991.
Wartawan: Sejak bila cikgu berkecimpung dalam profesion perguruan ?
Pn Rosyta: Saya mula bertugas sebagai pendidik pada tahun 1992 di SMK
VICTORIA Jalan Hang Tuah Kuala Lumpur. Kemudian pada
tahun 2003, saya bertukar ke SEGAR.
Wartawan: Sudah berapa tahun cikgu memegang jawatan sebagai
Ketua Panitia Bahasa Melayu ?
Pn Rosyta: Saya dilantik sebagai KP Bahasa Melayu sejak tahun 2004.
Tahun ini merupakan tahun kelima saya menjalankan
tanggungjawab sebagai KP.
Wartawan:Apakah perasaan cikgu apabila cikgu dilantik menjadi ketua panitia ?
Pn Rosyta: Perasaan saya pada ketika itu sangat gembira kerana pihak pentadbir memberi kepercayaan untuk menguruskan hal-hal dalam panitia yang mempunyai kapasiti guru dan pelajar yang sangat besar. Sememangnya ini cabaran yang besar bagi saya.
Wartawan: Apakah cabaran yang cikgu hadapi apabila sudah menjadi Ketua Panitia di sebuah sekolah yang mempunyai guru dan pelajar yang ramai ?
Pn Rosyta: Cabaran yang paling besar apabila pelajar tidak dapat menguasai kemahiran 3M kerana terdapat pelajar yang masih sukar dan gagal menguasai kemahiran membaca, menulis dan memahami ilmu bahasa Melayu.Terdapat sebahagian pelajar yang menganggap subjek Bahasa Melayu ini merupakan subjek yang tidak penting.
Wartawan: Baiklah kita semua tahu, menjadi seorang KP ini memang mencabar tapi apa pula cabaran yang cikgu hadapi sebagai seorang pendidik ?
Pn Rosyta: Cabaran yang terpaksa dihadapi apabila saya mengalami kesukaran untuk mendapatkan bahan bantu mengajar yang bercirikan ICT. Maklumlah zaman sains dan teknologi ini, pelajar telah didedahkan dengan penggunaan ICT. Saya berpendapat dengan menggunakan komputer dalam P dan P akan menjadikan pelajar lebih maju terutamanya dalam memperoleh maklumat dan ilmu pengetahuan. Hal ini dapat membantu mereka ketika menulis karangan. Cabaran kedua adalah untuk memahami jiwa remaja masa kini yang agak berbeza kerana mereka tidak mahu dilayan seperti anak murid tetapi mahu dilayan sebagai rakan. Saya perlu menjiwai perubahan emosi remaja sekarang.
Wartawan: Apakah strategi yang dilakukan oleh cikgu untuk meningkatkan peratus kelulusan mata pelajaran Bahasa Melayu dalam peperiksaan PMR, SPM dan STPM ?
Pn Rosyta: Saya akan bekerjasama menggembleng tenaga dalam menjayakan program sekolah seperti Program Menggapai Bintang,Latihan Pusat,latih tubi, berbahasa dan sebagainya.Sebagai KP saya juga terlibat sama dalam merancang, menyelia dan mengajar.
Wartawan: Baiklah, apakah pula harapan cikgu kepada pelajar-pelajar sekolah yang majoriti bukan Melayu terhadap mata pelajaran Bahasa Melayu?
Pn Rosyta: Sebagai guru,saya sentiasa mengingatkan mereka bahawa bahasa Melayu merupakan asas dalam berkomunikasi dalam kalangan rakyat Malaysia. Pelajar sepatutnya mempelajari Bahasa Melayu bukan sahaja untuk lulus peperiksaan malah kemahiran berbahasa Melayu ini dapat memudahkan pelajar menggunakannya dalam kehidupan seharian.
Wartawan: Apakah kejayaan Panitia Bahasa Melayu yang pernah diperoleh sepanjang cikgu menjadi Ketua Panitia ini ?
Pn Rosyta: Pada saya jika sudah ada kerjasama dan komitmen semua guru dalam memastikan program panitia berjalan dengan lancar itu sememangnya satu kejayaan yang besar dan saya sangat-sangat berterima kasih kepada semua guru dalam panitia ini. Saya sangat menghargai segala komitmen yang telah diberikan.Begitu juga apabila diumumkan keputusan PMR,SPM dan STPM, ramai pelajar Melayu dan bukan Melayu menjadi pelajar cemerlang.
Wartawan: Apakah kejayaan yang cikgu peroleh selama bergelar seorang pendidik ?
Pn Rosyta: Kejayaan yang diperoleh apabila ramai anak didik SEGAR yang berjaya dalam pelajaran dan sekali gus menjadi insan yang berakhlak mulia.
Wartawan:Terima kasih kami ucapkan kepada cikgu kerana sudi meluangkan masa dalam sesi temu ramah ini. Harap cikgu doakan juga kejayaan kami dalam STPM tahun ini.
Pn Rosyta: Sudah tentu. Besarlah harapan saya agar peratus kelulusan bagi semua mata pelajaran pada tahun ini meningkat seperti yang telah disasarkan.InsyaAllah
Tuesday, August 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment