Bahasa Melayu merupakan bahasa perantara utama di Malaysia dan juga bahasa kebangsaan. Pihak-pihak tertentu khususnya Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) telah melakukan berbagai-bagai usaha dalam memartabatkan bahasa Melayu dan kerajaan juga tidak ketinggalan melaksanakan usaha-usaha bagi meletakkan bahasa Melayu pada tahap yang tinggi. Realiti yang dapat kita lihat kini, usaha-usaha yang dijalankan oleh pihak-pihak tersebut seolah-olah tidak memberikan apa-apa kesan seterusnya menimbulkan persoalan sama ada bahasa Melayu dipinggirkan atau terpinggir. Terdapat banyak faktor bahasa kebangsaan kita seolah-olah dianaktirikan oleh rakyat Malaysia sendiri.Saya ingin membawa para pembaca menyelusuri realiti isu keterpinggiran bahasa Melayu.
Masalah utama menyebabkan keterpinggiran bahasa Melayu ialah perspektif masyarakat di negara ini khususnya dalam kalangan masyarakat Melayu apabila ramai yang bertanggapan bahawa bahasa Melayu merupakan perkara yang telalu remeh untuk dipelajari . Generasi muda dewasa ini pula berfikiran bahawa perkataaan baku dalam bahasa Melayu itu kolot dan ada juga remaja yang tidak boleh bertutur dengan betul dalam bahasa ibunda mereka iaitu bahasa Melayu. Kononnya mereka menggunakan bahasa kebangsaan sebagai bahasa kedua dan bahasa penjajah (bahasa Inggeris) sebagai bahasa perantara utama. Persoalannya, di manakah silapnya sehinggakan generasi masa kini hilang semangat kemelayuan dalam konteks bahasa dan budaya serta mengagung-agungkan segala yang datang dari Barat? Mungkin berpunca daripada ibu bapa mereka yang mempunyai pandangan bahawa bahasa Melayu itu tidak penting kerana mereka sendiri sudah dilahirkan Melayu dan berbahasa Melayu. Tanggapan ini seterusnya diturunkan kepada anak-anak mereka. Pemikiran seperti ini perlu dikikis dengan segera kerana generasi muda sepatutnya meneruskan perjuangan memartabatkan bahasa kebangsaan bukan memperlekehkan bahasa Melayu.
Bagi masyarakat bukan Melayu pula, mereka lebih mementingkan bahasa ibunda mereka. Rata-rata hari ini kita melihat masyarakat berpuak-puak kerana perbezaan bahasa dan warna kulit. Mereka tidak sedar bahawa mereka bernaung di bawah satu payung yang sama dengan individu lain iaitu di Malaysia. Mengapakah sentimen perkauman masih ada hinggakan sesetengah individu bukan Melayu masih tidak boleh bertutur dalam bahasa kebangsaan kita walaupun sudah berpuluh-puluh tahun menetap di tanah air ini malah memegang status warganegara. Kenyataan ini bukan bermaksud untuk memprovokasi mana-mana pihak tetapi hanya ingin menyuarakan realiti yang terjadi.
Pada awal tahun 1990, Malaysia dilanda gelombang globalisasi yang besar. Semenjak itu ,hampir segala-galanya mengalami perubahan, mungkin juga kejutan. Dari aspek ekonomi, budaya dan juga bahasa, semuanya mengalami perubahan drastik. Sejarah menyaksikan bahasa Melayu hilang kedaulatannya pada waktu itu. Bahasa Inggeris mula meresap ke dalam jiwa masyarakat negara ini seterusnya menggantikan fungsi bahasa Melayu. Dalam hal ini, mungkin ciri-ciri bahasa Melayu itu sendiri yang menyebabkan perkara ini berlaku.
Jika diteliti dalam sesuatu bidang sebagai contoh kejuruteraan, mungkin bahasa Melayu kurang sesuai diaplikasikan kerana bidang itu mempunyai terma-terma yang mungkin tidak terdapat dalam kosa kata bahasa Melayu. Walau bagaimanapun, masalah ini bukanlah alasan untuk kita meminggirkan bahasa kebangsaan. Penggunaan bahasa Melayu sebagai bahasa perantara utama dalam kalangan masyarakat Malaysia sepatutnya tidak menjadi masalah kepada masyarakat negara ini kerana dari sehari ke sehari bahasa Melayu berkembang menjadi lebih universal dan mempunyai kosa kata yang luas.
Di sebalik pertambahan kosa kata, ada juga kata-kata yang seakan-akan mempersendakan bahasa Melayu. Sebagai contoh istilah ‘glokal’ yang baru diilhamkan, kononnya gabungan global dan lokal. Bahasa Melayu seakan-akan menjadi sesuatu yang dipersendakan kerana perkataan boleh digabungkan secara sesuka hati. Pihak Dewan Bahasa dan Pustaka khususnya perlu memainkan peranan yang diamanahkan dan melakukan tugas mereka, bukan membiarkan bahasa kebangsaan menjadi sesuatu perkara yang boleh digabungkan atau diubah dengan sewenang-wenangnya.
Persoalan sama ada bahasa Melayu terpinggir atau dipinggirkan sepatutnya tidak timbul lagi pada masa ini. Kemerdekaan yang dikecapi selama 50 tahun sepatutnya sudah mematangkan pihak kerajaan dan DBP bagi melaksanakan langkah-langkah memartabatkan bahasa Melayu. Pada tahap ini, sepatutnya negara dan masyarakat sudah mempunyai rancangan yang kukuh dan perlu dilaksanakan bagi memelihara dan menjamin kedaulatan bahasa Melayu. Komitmen yang kental dan berterusan perlu direalisasikan agar bahasa Melayu benar-benar menjadi bahasa kebangsaan dan bukan sekadar catatan dalam Perlembagaan Persekutuan. Hasrat murni ini pasti membuahkan kejayaan andainya mendapat kerjasama daripada seluruh warganegara Malaysia.
Tuesday, August 5, 2008
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
9 comments:
Penulis ni sendiri banyak guna bahasa yang diserap dari BI.. konsep,perspektif,dll.. jadi nilailah sendiri.. sebelum menasihati, cermin diri dulu.
U
Konsep dan perspektif merupakan perkataan pinjaman bahasa inggeris. Jadi ia bole digunakan dalam penulisan. Sila rujuk kamus dewan dan sila cermin diri anda juga
Nak tanya, penutup yang kat bawah sekali tu ke? Maaflah saya tak berapa pandai sangat bm ni. Penutup tidak semestinya guna kesimpulan ke?
Dah setahun tapi tak dijawab kesian
👍
Mcm wajib tidak silap
Betul dah tu
Kerjasama MABBIM yang menghasilkan Kamus Melayu Nusantara, menyerap kosakata Bahasa Indonesia. Setidaknya 50-60 persen kosakata Bahasa Indonesia diserap dalam Kamus Melayu Nusantara.
*Enam Puluh Persen (Peratus) Kosakata Kamus Melayu Nusantara Berasal dari Kamus Bahasa Indonesia* https://youtu.be/FXYqT-xVsms
Post a Comment